“Pengurusan Alam Pembelajaran”
Sistem Pengurusan Pembelajaran atau lebih dikenali
sebagai Learning Management System merupakan
sebuah aplikasi pendidikan untuk membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran
di sekolah. Ia merupakan
aplikasi berasaskan web yang mampu mengurus pembelajaran secara elektronik, mengesan
hasil pembelajaran, integrasi antara pengurusan sumber manusia dengan sumber
pembelajaran, pembinaan bahan pengajaran serta bahan yang diterima daripada
pelajar dan merupakan kemudahan dalam bentuk pengurusan pembelajaran serta
membantu pemantapan pembelajaran secara bestari.
Pengurusan dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan bidang pengurusan
yang penting dalam arena pendidikan. Hal ini demikian kerana, bidang ini
memberi impak yang besar dalam sesebuah institusi pendidikan untuk melaksanakan
tanggungjawab organisasi sekolah dalam mencapai prestasi akademik yang cemerlang.
Bukan sahaja melibatkan organisasi sekolah, namun guru juga mempunyai peranan
yang amat penting bagi mengurus pengajaran dan pembelajaran pelajar.
Persoalan mengenai “Pengurusan Alam Pembelajaran”
SOALAN 1: Apakah yang dimaksudkan
dengan pengurusan alam pembelajaran?
Secara am, pengurusan merujuk kepada proses pencapaian matlamat
organisasi mengikut cara yang berkesan dan cekap. Perkara ini dilakukan melalui
proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan pengawalan sumber-sumber
organisasi (Daft, 1997). Manakala menurut Jamaluddin (2007), pengurusan
merupakan suatu proses menyelaraskan aktiviti individu dan kumpulan menuju ke
arah pencapaian sesuatu matlamat.
Menurut Anita E. Woolfolk (1995),
pembelajaran adalah proses yang mana pengalaman menyebabkan perubahan dalam
pengetahuan dan tingkah laku yang kekal. Menurut E.R. Hilgard, R.C. Atkinson
dan R.L. Atkinson (1975) pula, pembelajaran adalah perubahan tingkah laku yang
kekal hasil dari pengalaman. Perubahan ini mungkin tidak jelas sehingga timbul
suatu situasi yang menonjolkan tingkah laku baru ini kerana pembelajaran
biasanya tidak diperlihatkan secara serta-merta melalui pencapaian.
Daripada huraian
yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi pendidikan tersebut, dapat disimpulkan
bahawa maksud pengurusan alam pembelajaran ialah suatu proses yang mana
perancangan, pengawalan dan kepimpinan dalam suatu keadaan atau situasi
sehingga dapat menimbulkan perubahan tingkah laku dalam diri seseorang melalui
pencapaian. Pengurusan alam pembelajaran juga berkisarkan tentang persediaan
yang perlu dilakukan oleh guru dan pelajar sebelum sesuatu sesi pengajaran dan
pembelajaran diadakan di dalam kelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan